Semua orang mahukan anak yang bijak, cerdas dan pintar.
Tetapi berapa ramai kita yang bergelar ibu bapa ini benar-benar membantu anak
untuk membesar sebagai anak yang bijak? Kalau asyik sibuk melayan ‘hand phone’
dan membiarkan anak mengadap cerita kartun di televisyen atau tablet sahaja
macam mana kita hendak melihat anak membesar sihat dan cerdas.
Berikut adalah lima tip mudah yang boleh diamalkan sejak
anak anda usia bayi lagi. Jangan ingat bayi kecil tidak faham apa-apa. Bahkan
mereka sudah mula belajar sejak hari pertama lahir ke dunia lagi. Apa yang
penting, papa dan mama perlu rajin mengamalkannya.
Rajin berbual dengan bayi
“Berbual dengan bayi? Apalah yang dia faham.” Tentu itu
tanggapan sesetengah daripada anda. Betul tak? Hakikatnya jika anda rajin
berbual dengan bayi, ia membantu anak anda membina kemahiran pertuturan dengan
lebih pantas. Bukankah memori bayi seperti sebuah span. Menyerap apa sahaja
dengan pantas dalam enam tahun pertama kehidupannya. Bila tiba masanya, bayi
anda akan cepat bercakap hasil daripada kerajinan anda berbual dengannya.
Membaca buku
Rutin membaca buku boleh dimulakan sejak bayi lagi. Walaupun
dia tidak faham tetapi bayi akan menunjukkan tindak balas teruja apabila
melihat buku dan mendengar anda membacakannya buku. Buku yang penuh dengan
warna warni dan pelbagai lukisan membantu merangsang kemahiran koordinasi mata
dan telinganya.
Mengenalkan alam
Ini merupakan pelajaran asas sebuah kehidupan. Sesekali bawa
bayi anda keluar bersiar-siar dan kenalkan dia kepada alam sekitar. Dengan
memberitahunya tentang pokok, bunga, haiwan, awan, bulan, matahari dan
sebagainya, anak belajar banyak perkara baharu.
Mari bermain warna
Kita sedia maklum, bayi sangat teruja melihat objek
berwarna. Oleh itu apabila sudah tiba waktu yang sesuai, anda boleh mengajarnya
mengenal warna. Tidak semestinya perlu menggunakan alat tulis berwarna, cukup
dengan pelbagai objek di sekeliling anda. Sesekali tidak salah membiarkan si
kecil berseronok bermain dengan pensil warna.
Ajar mengira
Kalau mahu anak bijak matematik, apa kata mulakan ajar
mengira sejak mereka kecil lagi. Jangan risau, bukan perlu menggunakan pensil
dan kertas. Cara paling mudah, sambil anda mendukung bayi, ajarnya mengira 1
hingga 10 setiap kali anda bergurau senda, menciumnya atau sambil berjalan naik
tangga. Secara tak langsung anda telah memupuk semangat sukakan nombor sejak
dia kecil lagi.
Saya harap, para ibu bapa, mencuba teknik ini untuk si manja anda. Baiklah sampai sini sahaja untukentri kali ini ya. Sehingga bertemu lagi di entri yang akan datang.
0 ulasan:
Catat Ulasan