Semua orang mahukan anak yang
bijak, cerdas dan pintar. Tetapi berapa ramai kita yang bergelar ibu bapa ini
benar-benar membantu anak untuk membesar sebagai anak yang bijak? Kalau asyik
sibuk melayan ‘hand phone’ dan membiarkan anak mengadap cerita kartun di
televisyen atau tablet sahaja macam mana kita hendak melihat anak membesar
sihat dan cerdas.
Berikut adalah lima tip mudah
yang boleh diamalkan sejak anak anda usia bayi lagi. Jangan ingat bayi kecil
tidak faham apa-apa. Bahkan mereka sudah mula belajar sejak hari pertama lahir
ke dunia lagi. Apa yang penting, papa dan mama perlu rajin mengamalkannya.
Rajin berbual dengan bayi
“Berbual dengan bayi? Apalah yang
dia faham.” Tentu itu tanggapan sesetengah daripada anda. Betul tak? Hakikatnya
jika anda rajin berbual dengan bayi, ia membantu anak anda membina kemahiran
pertuturan dengan lebih pantas. Bukankah memori bayi seperti sebuah span.
Menyerap apa sahaja dengan pantas dalam enam tahun pertama kehidupannya. Bila
tiba masanya, bayi anda akan cepat bercakap hasil daripada kerajinan anda
berbual dengannya.
Membaca buku
Rutin membaca buku boleh
dimulakan sejak bayi lagi. Walaupun dia tidak faham tetapi bayi akan
menunjukkan tindak balas teruja apabila melihat buku dan mendengar anda
membacakannya buku. Buku yang penuh dengan warna warni dan pelbagai lukisan
membantu merangsang kemahiran koordinasi mata dan telinganya.
Mengenalkan alam
Ini merupakan pelajaran asas
sebuah kehidupan. Sesekali bawa bayi anda keluar bersiar-siar dan kenalkan dia
kepada alam sekitar. Dengan memberitahunya tentang pokok, bunga, haiwan, awan,
bulan, matahari dan sebagainya, anak belajar banyak perkara baharu.
Mari bermain warna
Kita sedia maklum, bayi sangat
teruja melihat objek berwarna. Oleh itu apabila sudah tiba waktu yang sesuai,
anda boleh mengajarnya mengenal warna. Tidak semestinya perlu menggunakan alat
tulis berwarna, cukup dengan pelbagai objek di sekeliling anda. Sesekali tidak
salah membiarkan si kecil berseronok bermain dengan pensil warna.
Ajar mengira
Kalau mahu anak bijak matematik,
apa kata mulakan ajar mengira sejak mereka kecil lagi. Jangan risau, bukan
perlu menggunakan pensil dan kertas. Cara paling mudah, sambil anda mendukung
bayi, ajarnya mengira 1 hingga 10 setiap kali anda bergurau senda, menciumnya
atau sambil berjalan naik tangga. Secara tak langsung anda telah memupuk
semangat sukakan nombor sejak dia kecil lagi.
Buat masa ini dahulu ya, nanti saya kongsikan perkara yang lain.
0 ulasan:
Catat Ulasan